Pemandu van warga emas mengaku tidak bersalah sebabkan kematian murid Tahun Dua

SEORANG pemandu lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon di Parit Sulong, dekat Batu Pahat pada Selasa lalu.

Nordin Ithnin, 61, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Bapa kepada enam anak itu didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.

Dia didakwa memandu van secara melulu hingga menyebabkan kematian murid Tahun Dua, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, di hadapan SK Seri Maimon, jam 12.30 tengah hari 5 Mei lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan yang memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM10,000, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000.

Arun juga memerintahkan Nordin melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan lesen memandu digantung berkuat kuasa hari ini mengikut Seksyen 41 (5) akta sama.

Berdasarkan laporan, hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku ketika van dipandu tertuduh bergerak untuk keluar dari kawasan sekolah selepas menghantar barang, namun merempuh mangsa yang sedang berjalan di hadapan pintu pagar sekolah.

Akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah di kepala dan organ dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img