SEORANG lelaki terselamat selepas kereta Perodua Axia dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di kawasan Batu 10, di Gombak petang tadi.
Mangsa yang berusia 27 tahun itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan sempat keluar daripada keretanya sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi kira-kira jam 1.56 petang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.33 petang.
“Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Selayang bersama jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 19 kilometer.
“Setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta dengan cara melintangi jalan. Kerja pembersihan dilakukan menggunakan gergaji berantai sebelum pokok berjaya dialihkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, anggota bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi unsur berbahaya yang boleh mengancam keselamatan orang awam.


