CAWANGAN Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA bersama Cawangan Risik Batalion 7 PGA berjaya menahan 20 pendatang asing tanpa izin dalam Op Taring Delta di kawasan parkir Masjid Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang kira-kira jam 8.00 pagi ini.
PGA Briged Tenggara melalui Facebook menyatakan, ketika rondaan dijalankan pihak polis mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekori kedua-duanya sehingga memasuki kawasan parkir masjid. Dua pemandu kenderaan berkenaan kemudian bertindak melarikan diri dan gagal dikesan.
‘’Pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan mendapati seramai 20 lelaki warga Myanmar berada di bahagian penumpang terdiri daripada 11 orang di dalam sebuah Toyota Innova dan sembilan orang di dalam sebuah Nissan Serena.
‘’ Hasil semakan mendapati hanya tujuh individu mengemukakan pasport namun tiada cop kemasukan sah ke Malaysia manakala 13 lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri, ‘’ kata kenyataan itu.

Menurut PGA Briged Tenggara, turut dirampas ialah tujuh pasport, 22 unit telefon bimbit dan dua buah kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM88,200.00. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
‘’Hasil soal siasat mendapati kumpulan itu memasuki Malaysia dengan menaiki bot merentas Sungai Golok melalui laluan haram di sekitar Rantau Panjang. Walaupun mereka tidak mengenal pasti nama sebenar lokasi pendaratan namun pihak polis percaya kumpulan itu dipercayai menggunakan Pengkalan Haram Yasin sebagai laluan masuk,’’ kata kenyataan berkenaan.
Kata kenyataan itu lagi, kesemua suspek juga memaklumkan bayaran kemasukan yang dikenakan berbeza mengikut destinasi antara RM3,000 hingga RM6,000 seorang selepas berjaya dihantar ke lokasi akhir atau memperoleh pekerjaan.
‘’ Polis percaya modus operandi tersebut menunjukkan kewujudan sindiket penyeludupan migran yang terus aktif menggunakan laluan sungai sebagai pintu masuk utama.
‘’ Semua tangkapan serta rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibupejabar Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut manakala rondaan dan pemantauan di kawasan sempadan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang kemasukan warga asing tanpa izin,’’ kata kenyataan itu.


