“SAYA tidak akan membuat sebarang rayuan terhadap hukuman yang dikenakan. Ia disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh saya boleh dipersoalkan.’’
Demikian ditegaskan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berikutan keputusan Lembaga Disiplin Bersatu menggantungkan keahlian beliau selama dua penggal berkuat kuasa 8 Mei lalu.
Sambil mempersoalkan penggantungan tersebut yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan, Ikmal Hisham berkata, beliau menerima keputusan Lembaga Disiplin Bersatu itu dengan hati terbuka dan tanpa sebarang penyesalan.
‘’Ia disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh saya boleh dipersoalkan. Apakah salah saya menghadiri program yang dianjurkan oleh individu yang telah digantung dan dipecat sedangkan ia sebagai tanda simpati kepada sahabat seperjuangan?
‘’Begitulah juga apabila saya didapati bersalah menghadiri Program Aidilfitri RESET. Saya hairan kenapa kehadiran ke majlis seumpama itu yang bertujuan mengeratkan silaturahim dan meraihkan Aidilfitri dianggap satu kesalahan?,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai kedudukan dalam pilihan raya, Ikmal Hisham menyifatkan tindakan ke atasnya dilakukan dengan niat jahat bagi menghalang beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
‘’Bagaimanapun ingin saya tegaskan bukan Bersatu yang akan tentukan saya boleh bertanding atau tidak dalam PRU-16. Sebaliknya rakyat Tanah Merah paling berhak menentukannya memandangkan mereka jauh lebih memahami apa yang saya lakukan sepanjang menjadi Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.
‘’ Oleh itu Insha-Allah saya akan tetap bertanding jika rakyat Tanah Merah terus menyokong saya walaupun bukan lagi di bawah payung Bersatu.
Ikmal Hisham yang juga bekasl Timbalan Menteri Pertahanan berkata, beliau akan terus bersuara atas nama Perikatan Nasional.
‘’Surat daripada Lembaga Disiplin menegaskan, semua jawatan saya dalam Bersatu dilucutkan dan saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti tersebut.
‘’Ingin saya tegaskan, saya sama sekali tidak ada masalah berhubung arahan itu. Ia disebabkan saya masih lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional dan paling penting saya bertanding pada PRU-15 menggunakan lambang lambang Pas,’’ tegasnya.
Oleh itu beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab dan bersuara serta memperjuangkan nasib penduduk Tanah Merah dan negara atas nama Perikatan Nasional.
Mengenai hala tuju politik selepas ini, Ikmal Hisham berkata, beliau memikirkannya lagi memandangkan saya hanya digantung bukan dipecat oleh Bersatu.
‘’ Insha-Allah apabila tiba masanya saya akan memaklumkan hala tuju politik saya.Cuma pesanan dalam hidup ini rezeki bukan manusia tentukan tetapi Allah SWT yang aturkan. Satu pintu rezeki ditutup, Allah SWT akan buka pintu rezeki lain dengan lebih luas, inshaAllah.


