PENJAGA Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, meluluskan penambahan kategori wanita dalam Pertandingan Antarabangsa Raja Abdulaziz ke-46 bagi Hafazan, Tilawah dan Tafsir al-Quran.
Kelulusan itu dibuat berdasarkan cadangan Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan serta Penyelia Umum Pertandingan al-Quran Tempatan dan Antarabangsa, Abdullatif Al-Sheikh.
Kementerian berkenaan menganjurkan pertandingan tersebut di Masjidilharam. Keputusan Raja itu dianggap sebagai perkembangan penting dalam sejarah pertandingan sejak ia mula diperkenalkan pada 1978.
Penyertaan kategori wanita ini dijangka meningkatkan keterangkuman pertandingan serta meluaskan penyertaan global kepada peserta lelaki dan perempuan. Kelulusan tersebut turut merangkumi penetapan majlis penutup pertandingan pada 19 Ogos ini.
Abdullatif Al Sheikh merakamkan penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Mohammed Salman, atas perhatian dan sokongan mereka terhadap segala usaha yang berkhidmat kepada al-Quran serta menyebarkan ajarannya.
Beliau menegaskan bahawa penambahan kategori wanita itu mencerminkan perhatian besar Raja terhadap kitab suci al-Quran, keyakinan baginda terhadap peranan penting wanita, pengiktirafan terhadap kedudukan mereka sebagai antara tonggak utama pembangunan masyarakat, serta usaha menghubungkan generasi muda lelaki dan perempuan dengan al-Quran di samping menggalakkan mereka menghafaz dan menghayati maknanya.


