Mujibburrahman pangku jawatan Ketua Eksekutif BSN

BANK Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan perubahan kepimpinan tertinggi apabila Ketua Eksekutifnya, Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah akan beralih ke Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) selepas menerajui bank itu sejak Februari 2021.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, BSN mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan dengan pendapatan berasaskan fi meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 8.4 peratus, manakala pembiayaan berkembang 8.1 peratus.

BSN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kestabilan deposit runcit dan kepelbagaian sumber pendapatan turut mengukuhkan asas pertumbuhan mampan institusi kewangan itu.

Menurut kenyataan itu, Jay Khairil memainkan peranan penting dalam memperkukuh mandat sosial dan hala tuju strategik BSN, termasuk memacu agenda pembiayaan mikro negara.

“Lebih 72,000 peniaga mikro dan kecil telah dibantu melalui pembiayaan berjumlah RM2.2 bilion, sekali gus meletakkan BSN sebagai peneraju pasaran dengan pegangan sebanyak 66 peratus,” menurut kenyataan BSN yang dikeluarkan hari ini.

Dalam aspek transformasi digital, hampir 50 peratus pelanggan BSN kini menggunakan platform myBSN, manakala lebih 75 peratus transaksi perbankan dilaksanakan menerusi saluran digital berkenaan.

BSN turut memperluas akses rangkuman kewangan melalui rangkaian cawangan, Ejen Bank BSN dan Cawangan Bank Bergerak bagi memastikan perkhidmatan kewangan terus inklusif dan mudah diakses rakyat di seluruh negara.

Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan atas dedikasi dan kepimpinan Jay Khairil sepanjang menerajui institusi berkenaan.

“Beliau merupakan faktor utama kepada pengukuhan prestasi kewangan dan mandat sosial BSN, selain memperkukuh tadbir urus serta memperluas rangkuman kewangan, sekali gus menempatkan BSN sebagai institusi kewangan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Susulan pengunduran tersebut, Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid akan memangku jawatan Ketua Eksekutif.

Beliau yang menyertai BSN sejak 2018 mempunyai pengalaman luas dalam operasi, pengurusan dan perniagaan perbankan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img