“SAYA takut kalau mula ambil bayaran, niat asal untuk bantu orang dan selamatkan lebah itu berubah,” kata Syafiq Jazli Hasikin.
BAGI kebanyakan orang membakar atau memusnahkan sarang lebah merupakan jalan terakhir, namun bagi lelaki ini, dia tampil dengan pendekatan berbeza menjadi penyelamat lebah.
Tanpa sebarang bayaran, Syafiq Jazli tekad mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa lebah bukan serangga agresif sekiranya tidak diganggu.
Walaupun pernah merangkak dalam siling sempit, lelaki berusia 34 tahun ini tetap gigih menyelamat dan memindahkan sarang lebah secara percuma bagi memelihara ekosistem serangga tersebut.
Syafiq Jazli yang juga Pengurus Teknikal Syarikat Madu Pak Long berkata, kerja menyelamat lebah bukan sebahagian daripada tugas rasminya, namun tetap dilakukan secara sukarela sekiranya mempunyai masa terluang.
Menurutnya, minat terhadap lebah sudah bermula sejak dari kecil sebelum dia mendalami ilmu mengenai serangga itu menerusi pembacaan dan kajian sendiri.
“Dulu saya sekadar tolong kawan-kawan pindahkan lebah, namum sejak dua tiga tahun kebelakangan ini saya mula menyelamat dan memindahkan sarang lebah selepas terinspirasi dengan video dari luar negara.
“Bila saya mula kongsi video itu di media sosial, saya nampak orang ramai semakin sedar untuk tidak terus bunuh atau bakar sarang lebah,” ujarnya kepada Utusan Melayu Plus.
Tambah anak muda ini, dia dan pasukannya tidak pernah menetapkan caj kerana mahu mengekalkan niat membantu masyarakat serta menyelamatkan hidupan berkenaan.
“Kalau orang nak belanja makan atau minum itu biasa, tetapi saya memang tak mahu jadikan benda ini sebagai servis berbayar.
“Saya takut nanti bila kita dah tetapkan bayaran, orang mula mendesak kita datang ikut masa tertentu dan akhirnya niat asal itu hilang,” katanya.
Menurut Syafiq, kebanyakan panggilan diterima membabitkan lebah yang bersarang di siling rumah, pokok halaman dan bangunan.
“Antara spesies yang paling kerap dipindahkan ialah lebah Apis Florea atau lebah lalat dan Apis Cerana yang sering bersarang di kawasan gelap seperti siling rumah.
“Ramai orang takut bila nampak lebah, tetapi sebenarnya kebanyakan spesies ini tidak agresif selagi tidak diganggu,” katanya.
Berkongsi pengalaman, Syafiq berkata dia pernah disengat ketika melakukan operasi menyelamat, namun menganggapnya sebagai risiko biasa.
“Cabaran sebenar bukan pada lebah, sebaliknya lokasi sarang yang kadangkala berada di tempat sempit dan berbahaya.
“Ada masa saya kena masuk ruang siling yang sempit, meniarap dan panjat tempat tinggi. Orang tengok video ingat cabaran itu pada lebah, tetapi sebenarnya lokasi sarang lebih mencabar,” katanya.
Kata Syafiq walaupun perkhidmatannya ditawarkan sekitar Ipoh, Perak, namun dia sering mendapat permintaan menyelamatkan lebah di negeri-negeri lain juga.
Selain menyelamatkan lebah, Syafiq turut menggunakan media sosial untuk berkongsi ilmu mengenai spesies dan kepentingan serangga itu kepada ekosistem.
“Saya cuba selitkan ilmu ringan dalam setiap video dengan ayat mudah supaya orang faham. Mungkin awalnya mereka tengok sebab tertarik dengan proses menyelamat, tetapi lama-lama mereka belajar memahami dan lebih menghargai lebah,” ujarnya.


