POLIS memburu seorang lelaki warga asing yang dipercayai mengganggu beberapa murid lelaki di sebuah sekolah rendah di Arau selepas suspek didakwa memegang, mengangkat dan mencium pelajar ketika sesi latihan silat, petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas insiden berkenaan tular di media sosial dengan dakwaan cubaan culik membabitkan murid sekolah.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun pada jam 1 tengah hari tadi.
Menurutnya, ketika kejadian, pengadu bersama isterinya sedang melatih sekumpulan pelajar dalam kelas silat di padang sekolah rendah berkenaan sebelum menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali memasuki kawasan sekolah melalui pintu pagar belakang.
“Suspek yang dipercayai warga asing kemudian terus menuju ke kawasan padang sebelum bertindak memegang, mengangkat serta mencium beberapa murid lelaki tanpa sebab munasabah.
“Pengadu yang curiga dan bimbang suspek mempunyai niat tidak baik segera menghalang tindakannya sebelum mengarahkan lelaki terbabit keluar dari kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengawal keselamatan sekolah yang dimaklumkan mengenai kejadian itu turut membantu mengusir suspek dari kawasan berkenaan.
“Suspek kemudiannya melarikan diri menuju ke kawasan hutan berhampiran sekolah.
“Pengadu turut memaklumkan lelaki terbabit tidak mahir bertutur bahasa Melayu dan hanya bercakap menggunakan bahasa Thailand,” katanya.
Ahmad Mohsin berkata, polis sudah menemui pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat lanjut serta mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, pihak sekolah turut menasihatkan pengadu supaya membuat laporan polis demi keselamatan murid lain.
“Kes kini dirujuk kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.


