SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan kepada 625 warga pendidik dan guru menyampaikan khutbah Jumaat sempena sambutan Hari Guru, hari ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, khutbah bertemakan ‘Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera’ sebagai menghargai peranan dan sumbangan golongan pendidik kepada rakyat serta negara.
“Jabatan Pendidikan Negeri Perak mengemukakan nama warga pendidik dan guru dan mendapat perkenan menaiki mimbar membaca khutbah di 625 masjid dan surau di seluruh negeri pada Jumaat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, antara tokoh pendidikan diberi penghormatan termasuk Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad yang akan mengetuai warga pendidik menyampaikan khutbah di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri).
Selain itu katanya, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Omar Salleh menjadi khatib di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Merchu, Samad Hassan menyampaikan khutbah di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar.
Tambah beliau, program pengimarahan masjid turut diadakan di Masjid Negeri melibatkan kira-kira 2,000 pelajar dan warga pendidik dengan pengisian seperti program motivasi kerohanian, bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat.
“Sultan Nazrin turut berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama pelajar dan warga pendidik di masjid sama pada hari berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Azam dalam satu temu bual Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV memaklumkan, bandar raya Ipoh dipilih sebagai tuan rumah bagi Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Pelbagai pengisian telah dirangka oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sambutan itu, termasuk program kerohanian di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) hari ini yang bakal diserikan dengan keberangkatan tiba Sultan Nazrin Shah.
Program yang diisi dengan bacaan Yasin, tahlil dan khutbah Jumaat Khas itu dijangka dihadiri kira-kira 2,000 jemaah.
Warga pendidik juga akan diraikan pada Majlis Anugerah Hari Guru peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Kinta Riverfront bagi meraikan pencapaian warga pendidik seluruh negara.
Acara kemuncak sambutan pula akan berlangsung pada Sabtu yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri dijangka menyampaikan amanat pada majlis itu yang akan disiarkan secara langsung menerusi DidikTV, EduwebTV dan semua platform media sosial rasmi kementerian bagi membolehkan warga pendidik di seluruh negara mengikuti sambutan berkenaan.


