Polis cari rakaman CCTV bantu siasatan kes juruteknik maut ditikam berkali-kali

POLIS sedang mencari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan kes seorang juruteknik yang ditemukan maut dipercayai ditikam berkali-kali dalam sebuah unit pangsapuri di Prima Tebrau, Johor Bahru malam kelmarin.

Media difahamkan polis telah meminta penghuni berdekatan unit itu untuk menyerahkan rakaman CCTV di kediaman mereka bagi membantu siasatan dan mengumpul bukti penting.

Rakaman CCTV persendirian itu diperlukan kerana kebanyakan kamera CCTV di pangsapuri berkenaan dikatakan sedang menjalani kerja penyelenggaraan dan hanya kamera di pintu keluar utama sahaja berfungsi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11.12 malam membabitkan penemuan mayat lelaki berusia 33 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah di salah satu unit pangsapuri berkenaan.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah kira-kira jam 10.50 malam. Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemukan di sisi mangsa,” katanya.

Sementara itu seorang penghuni memberitahu, mangsa ditemukan selepas rakan sekerjanya meminta bantuan pengawal keselamatan pangsapuri.

Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Salleh dipercayai tidak datang bekerja selama tiga hari dan dengan bantuan pengawal, dia dan rakan mangsa pergi ke unit di Blok A.

Mereka kemudian mendapati pintu pagar dan pintu utama unit berkenaan sedikit terbuka sebelum terhidu bau darah yang kuat dari dalam.

“Mangsa dilihat terbaring di lantai dan kami segera memaklumkan polis. Kami dimaklumkan dia ditikam berkali-kali… dipercayai hampir sembilan tikaman termasuk pada bahagian mata,” kata penghuni itu kepada pemberita.

Penghuni terbabit itu turut memaklumkan pihak pengurusan pangsapuri meminta rakaman antara jam 6 pagi hingga 9 pagi dari 11 Mei hingga 12 Mei, termasuk rakaman dashcam di kawasan parkir terutama berhampiran lot parkir mangsa.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img