POLIS sudah merekodkan 65 keterangan termasuk Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataan kontroversi yang didakwa menghina sahabat Nabi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini sebanyak 63 laporan polis diterima di seluruh negara termasuk di Kelantan berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
“Siasatan masih berjalan dan 65 keterangan sudah diambil setakat ini termasuk daripada pengadu yang membuat laporan polis.
“Alhamdulillah, kesemua pengadu termasuk Nik Zawawi memberi kerjasama baik. Malah, kenyataan beliau juga perlu dirujuk kepada pakar agama,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan siasatan terhadap kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu yang tular baru-baru ini.
Mengulas sama ada Nik Muhammad Zawawi akan dipanggil semula untuk dirakam keterangan, Mohd Yusoff berkata perkara itu masih dalam siasatan.
Sebelum ini, Nik Muhammad Zawawi memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’ ketika ceramah politik di Kuala Terengganu pada 10 Mei lalu.
Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga menimbulkan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak.
Susulan itu, beliau tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Jumaat lalu.


