BAHAGIAN AKHIR
Oleh Dr Anuar Ahmad
BERHUBUNG kewajaran mengaitkan tahfiz dengan UEC. Saya rasa tidak ada kewajaran mengaitkan pengiktirafan UEC ke IPTA dengan tahfiz. Ia memandangkan selama inipun kita telahpun melaksanakan apa yang disebut di dalam pengumuman KPT itu.
Maksudnya kalau calon pelajar tahfiz mahu meneruskan pendidikan di peringkat universiti, mereka memang perlu melampirkan sijil SPM yang menunjukkan mereka mendapat sijil penuh dengan enam matapelajaran dan lulus bahasa Melayu dan Sejarah.
Maka tidak wajarlah tahfiz dikaitkan dengan UEC sebab UEC adalah adalah perkara baru. Justeru apabila pengumuman mengenai UEC turut dikaitkan dengan tahfiz ia menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.
Mereka akan bertanya apakah sebelum ini tahfiz tidak diiktira? f Sedangkan ia telah pun diiktiraf.
Oleh itu pada saya pandangan dari segi pendidikan, tidak ada isu. UEC boleh digunakan untuk masuk ke IPTA asalkan mempunyai sijil penuh dan lulus sejarah dan bahasa Melayu. Tetapi mestilah dibiayai sendiri bukan menggunakan peruntukan kerajaan kerana mereka tidak datang daripada sistem pendidikan kebangsaan.
Kita harus memahami bahawa selepas pasca persekolahan, sistem pendidikan sepatutnya menjadi lebih terbuka, maksud untuk masuk universiti. Jadi pilihan itu terbuka.
Oleh itu kita tidak boleh melihat bahawa sijil UEC itu tidak boleh digunakan. Yang harus kita tekankan di dalam sistem pendidikan kita ialah dari sekolah rendah hingga sekolah menengah selama 11 tahun.
Selepas 11 tahun ia menjadi pilihan kepada anak-anak, sama ada mereka mahu meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau tidak. Itulah sebabnya tidak wajib pendidikan lagi selepas 11 tahun.
Oleh itu kalau seseorang itu mahu menyambung pelajaran ke universiti menggunakan STPM, A-Level, UEC ataupun sijil-sijil lain, asalkan ia diiktiraf oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) , itu tidak menjadi isu.
Atas sebab itulah perkara yang mesti dilakukan oleh pihak kerajaan adalah memastikan UEC mendapat periktirafan daripadan Pihak berkaitan dengan Audit penggubalan peperiksaan dan sebagainya, di peringkat kebangsaan supaya ia setara dengan peperiksaan lain, walaupundi luar negara UEC ini memang telahpun diterima oleh universiti-universiti.
Perlu diingat, ramai orang mengatakan banyak negara mengiktiraf UEC, sebaliknya bukan negara tetapi universiti di luar negara. Demi perniagaan, mereka memang menerima UEC kerana itu adalah sumber pendapatan universiti.
Di negara maju misalnya, memang pihak universiti terutamanya swadt yang melaksanakan proses itu tanpa campur tangan dari pihak kerajaan mereka memang mengiktiraf, sijil UEC dan sebagainya.
Oleh itu kita jangan kata negara mengiktiraf…. sebab di mana-mana negara di dunia, mereka tidak mengiktiraf sijil UEC itu seperti sijil negara mereka.
Di Singapura, mereka mengiktiraf sijil persekolahan negara itu, kalau mahu masuk universiti di sana tidak ada masalah mahu guna sijil UEC atau A-Level tetap perlu bayar sendiri.
Dalam isu UEC ini, saya rasa tidak ada isu, asalkan mereka cukup syarat masuk universiti dan biaya sendiri. Bagaimana dari segi idea ataupun falsafah ini mungkin sedikit menyedihkan kalau kita lihat dari sisi sejarahnya.
Malaysia adalah negara majmuk, sudah ratusan tahun hidup dalam kenegraan yang mempunyai pelbagai kaum dan apabila kita merdeka salah satu hasrat utama negara kita adalah untuk menyatukan kaum.
Proses menyatukan kaum ini tidak berlaku semalaman, ia mengambil masa puluhan tahun untuk membina satu kerangka sebuah bangsa ataupun sebuah negara.
Bapa-bapa kemerdekaan kita dulu telah bersetuju supaya kita mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Semua anak-anak sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan belajar di satu sekolah supaya masing-masing dapat berkenalan antara satu sama lain, bertoleransi, salinghormat-menghormati.
Kalau kita bercakap soal budaya yang berbeza.. Ini satu cara yang paling berkesan untuk kita saling memahami antara budaya, antara kaum ini.
Aspirasi aturan aturan agama, sensitiviti dan sebagainya dan itu adalah melalui alam pesekolahan. Sebab itulah alam pesekolahan adalah terbaik untuk membina sebuah negara bangsa melalui satu sekolah aliran. Itu ideanya tetapi disebabkan oleh kita mempunyai beberapa kekangan politik pada awal kemerdekaan, akhirnya kita bersetuju untuk tidak bersetuju waktu itu.
Pada waktu itu, matlamat kita ada untuk mencapai kemerdekaan. Apabila perundingan dijalankan, kita bersetuju untuk membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan dan sebagainya di peringkat sekolah rendah.
Kita merasakan memadailah pada peringkat sekolah anak-anak itu belajar bahasa ibunda, belajar tentang masing-masing. Apabila sekolah menengah, mereka sepatutnya duduk bersama, belajar bersama, bekerja bersama dalam satu alam persekolahan.
Kalau kita lihat di dalam usaha misalnya olrh Menteri Pelajaran yang kedua, Abdul Rahman Talib. Antara usaha beliau adalah memastikan sekolah-sekolah menengah persendirian Cina ini bersama-sama di dalam satu aliran pendidikan kebangsaan.
Atas usaha beliau dan atas persefahaman dalam kalangann-pemimpin pendidikan Cina pada waktu itu, akhirnya apa yang berlaku adalah sebahagian daripada sekolah persendirian Cina bergabung dan menjadi sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) yang berada di dalam sistem pendidikan Kebangsaan.
Usaha itu bukan tahun 60an sahaja tetapi tahun-tahun seterusnya supaya anak-anak kita ini di pengkat remaja,di sekolah menengah imereka saling kenal mengenali.
Melalui cara itu kita akan membina sebuah negara bangsa yang bukan sekadar kita hidup bersama tetapi saling memahami antara satu sama lain dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi
Tetapi apabila kita mengiktiraf sijil-sijil yang berbagai termasuklah A-level, UEC dan sebagainya salah satu yang kita harus fahami ia semakin lari daripada usaha kita untuk membina perpaduan.
Sekarang ini kita juga mengiktiraf UEC. Maka dari segi kita semakin jauh daripada hasrat untuk menjadikan anak-anak kita itu belajar dalam satu sekolah sama.
Apabila saya berbual dengan rakan-rakan daripada Cina, mereka kata kalau UEC itu sudah diiktiraf untuk masuk ke universiti, maka mereka juga lebih bersedia untuk menghantar anak mereka ke sekolah persendirian Cina berbanding Sekolah Menengah Kebangsaan.
Saya menjangkakan akan berlaku trend lebih ramai pelajar-pelajar kaum Cina akan ke sekolah UEC manakala sekolah menengah kebangsaan akan diisi oleh pelajar Melayu.Kalau kita lihat sekarang ini pun, disebabkan oleh kewujudan sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, bilangan pelajar Melayu ataupun bumiputera di sekolah kebangsaan mencecah 96-97%.
Jumlah bukan Melayu khususnya kaum Cina ke Sekolah Menengah Kebangsaan akan menjadi lebih berkurangan apabila sijil IEC diiktiraf ke IPTA.
Jadi hasrat kepimpinan negara kita pada awal kemerdekaan dulu menjadikan pendidikan ini sebagai alat perpaduan, penyatuan kaum, untuk membina negara bangsa Malaysia…saya fikir akan gagal dan akan terkubur.
*Penulis adalah Pakar Pendidikan.


