LELAKI warga emas direman tujuh hari bermula semalam selepas dipercayai mengintai murid perempuan di tandas sebuah sekolah rendah di daerah Gua Musang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, lelaki berusia 60 tahun yang juga suami kepada seorang guru besar ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurut sumber, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada 7 April lalu kira-kira jam 2.15 petang di tandas murid perempuan sekolah berkenaan.
Katanya, empat murid perempuan mendakwa terdengar jeritan dari dalam tandas sebelum melihat dua pelajar perempuan Tahun Dua berada di lokasi berkenaan.
“Mereka turut mendakwa ternampak seorang lelaki keluar dari tandas murid perempuan terbabit sejurus selepas kejadian itu.
“Pada awal Mei lalu, lelaki sama juga dikatakan kerap berada di kawasan surau sekolah pada waktu petang ketika sesi Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berlangsung,” katanya.
Menurutnya, suspek dipercayai mengintai pelajar perempuan yang sedang mengambil air sembahyang di kawasan surau berkenaan.
“Susulan kejadian itu, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kejadian ini menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa dan murid sekolah terbabit,” katanya.


