KEGIATAN pemilikan dan pengambilan anak kerang secara haram terbongkar selepas Jabatan Perikanan (DOF) Selangor menjalankan dua operasi berasingan di Sabak Bernam dan Kuala Selangor, Sabtu lalu.
DOF Selangor dalam kenyataan berkata, dalam operasi pertama di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, pihak penguat kuasa menemui 13 guni berisi bahan seakan pasir hitam disyaki anak kerang bersaiz kurang empat milimeter (mm).
Katanya, operasi dijalankan jam 1.15 tengah hari hasil maklumat awam berhubung aktiviti berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemui 13 guni mengandungi bahan dipercayai anak kerang bersaiz kurang empat mm yang disorokkan di kawasan penempatan sekitar Sungai Haji Dorani.
“Bagaimanapun tiada individu tampil mengaku pemilik semua guni berkenaan ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya hari ini.
Menurutnya, semua barang sitaan kemudian dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Pada hari sama, DOF Selangor turut mematahkan kegiatan pengambilan anak kerang secara haram di sebuah jeti di Pasir Penambang.
Katanya, sebanyak 31 unit tangguk bernilai RM930 dirampas selepas ditinggalkan sekumpulan individu yang melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.


