PERSELISIHAN faham dan ejek-mengejek dipercayai menjadi punca sekumpulan remaja bergaduh berhampiran sebuah sekolah menengah di daerah Klang Selatan, Shah Alam sehingga videonya tular di media sosial.
Dalam kejadian petang Selasa lalu itu, polis menahan lapan lelaki termasuk seorang pelajar Tingkatan Dua yang dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kejadian itu kira-kira jam 1 pagi.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berlaku pada jam 6.50 petang, berhampiran sebuah sekolah menengah di Klang Selatan.
“Bertindak atas maklumat diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 14 hingga 24 tahun.
“Hasil siasatan mendapati sebahagian daripada suspek masih berstatus pelajar sekolah manakala selebihnya tidak bersekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati pergaduhan tercetus akibat perselisihan faham dan ejek-mengejek antara dua kumpulan remaja terbabit.
Katanya, insiden berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan unsur kongsi gelap atau gangsterisme seperti didakwa segelintir pihak di media sosial.
“Permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas semua suspek dipohon hari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, semua suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 26 saat memaparkan sekumpulan remaja bergaduh berhampiran sekolah terbabit sehingga mencetuskan kebimbangan orang awam.


