POLIS menahan seorang pengasuh wanita yang videonya tular kerana memukul dan memaksa kanak-kanak duduk di luar rumah di rumahnya di Sendayan, Seremban malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ibu bapa kanak-kanak berkenaan mengenal pasti mangsa adalah anaknya menerusi video yang tular sebelum menyalurkan maklumat kepada polis.
“Kira- kira jam 8 malam tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima satu laporan berhubung kejadian penderaan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
“Kejadian dipercayai berlaku di sebuah kawasan perumahan di Seremban. Kejadian itu disedari ibu bapa mangsa selepas melihat satu rakaman video berdurasi satu minit 15 saat yang tular dalam media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Alzfany, rakaman video berkenaan memaparkan seorang wanita memukul seorang kanak-kanak lelaki di bahagian belakang sebuah rumah dan mangsa dalam rakaman itu dikenal pasti kedua ibu bapanya.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dihantar ibu bapanya untuk diasuh di rumah suspek yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka sejak tujuh bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Katanya, bertindak atas maklumat dan siasatan dijalankan, polis menahan seorang wanita berusia 60 tahun kira-kira jam 9.45 malam tadi di rumahnya bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Seremban pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Alzafny berkata, polis memandang serius penderaan terhadap kanak-kanak dan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Kamarul Ariffin Kamaruzaman di talian 06-603 3222,” katanya.


