Bukan Pas terhasut fitnah tetapi akibat Bersatu banyak kerenah

FOKUS AHAD

KETIKA menegaskan Pas akan mengkaji hubungan dengan Bersatu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang secara terbuka  menyebut dua perkara penting, pertama tindakan Bersatu menolak usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN), termasuk menyekat penyertaan parti-parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem, sebagai tidak menyenangkan dan berpotensi menjejaskan kesepakatan gabungan itu.

Perkara kedua disebut oleh Abdul Hadi ialah tindakan dua ADUN Bersatu di Negeri Sembilan  menarik balik akuan bersumpah terhadap pembentukan kerajaan negeri  sebagai tidak menghormati semangat setiakawan dalam PN.

Tetapi reaksi pemimpin Bersatu agak melucukan.  Ketua Penerangannya, Tun Faisal Ismal Aziz berkata,  jika Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan rakan-rakannya masuk PN, ia boleh membawa perpecahan dalam gabungan dan bertanya kerusi manakah yang akan ditandingi mereka serta adakah parti yang menyokong kemasukan bekas Timbalan Presiden Bersatu itu bersedia memberi kerusi mereka?

Satu lagi kenyataan yang penulis ‘tertarik’ apabila bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Datuk Marzuki Mohamad berkata, dakwaan kononnya parti Bersatu akan menyokong Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) merupakan usaha mind conditioning untuk membentuk persepsi negatif terhadap parti itu.

Kata beliau, dakwaan yang berlegar menerusi akaun Facebook palsu itu menjadi punca Pas akan mengkaji hubungan mereka dengan Bersatu.

FAKTANYA, Abdul Hadi sama sekali tidak menyebut parti mana yang ditolak oleh Bersatu tetapi anehnya pemimpin Bersatu ‘melompat’, maknanya apa yang disebut oleh media sebelum ini bahawa Bersatu menentang kemasukan parti Hamzah ketika mesyuarat PN baru-baru ini… betul lah kan?

Ternyata pemimpin Bersatu masih diburu ‘mimpi Hamzah’, sebab itulah Tun Faisal berkata, kemasukan geng Hamzah boleh pecah-belah PN. Soalnya kenapa akan pecah-belah? Kenapa tidak berterus-terang sahaja bahawa pemimpin Bersatu bimbang kehadiran Hamzah sekali lagi akan menenggelamkan  Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin? Ia memandangkan khabarnya Hamzah mempunyai sokongan Ahli Parlimen PN lebih ramai daripada bekas perdana menteri  itu.

Soal kerusi mana Ahli Parlimen Larut itu dan rakan-rakannya mahu bertanding Tun Faisal tidak perlu risau. Kalau tidak ada kerusi, Pas bersedia berikan kerusi mereka sepertimana parti itu beri laluan kepada Bersatu sebelum ini.

Lagipun adalah wajar Pas tidak lagi melakukan pengorbanan untuk Bersatu termasuk dari segi kerusi. Ia memandangkan Pas penuh ikhlas berikan laluan kepada calon Bersatu bertanding, penat-penat jentera Pas bekerja untuk menangkan calon itu akhirnya YB terlibat digantung atau dipecat oleh Bersatu.

Kalaupun Pas tidak beri kerusi atau parti Hamzah tidak menyertai PN, Pas boleh sahaja melakukan kompromi dengan tidak bertanding di kerusi yang ditandingi oleh parti Hamzah manakala Hamzah dan rakan-rakan tidak bertanding di kerusi milik Pas tetapi mereka boleh bertanding di kesemua kerusi Bersatu.

Dalam soal kenyataan Dr.Marzuki bahawa Pas mungkin termakan fitnah bahawa Bersatu akan bekerjasama dengan PH selepas PRU, dalam kenyataan Abdul Hadi tidak pula menyatakan soal tersebut. Tidak tahulah kalau ada pemimpin Pas lain ‘termakan fitnah’ itu.

Tak kan la benda yang tidak pasti dalam Facebook mahu dijadikan rujukan atau alasan sebuah parti  besar seperti Pas untuk bertindak tanpa merujuk kepada Bersatu terlebih dulu?

HAKIKATNYA, Pas sudah lama memendam rasa, Pas telah lama menyimpan perasaan dan Pas sudah lama muak dengan kerenah Bersatu. Walaupun Bersatu memiliki kerusi Parlimen lebih rendah daripada Pas tetapi Bersatu seolah-olah mahu ‘abang besar’.

Kalau Pas mahu menjadi ‘abang besar’ dalam PN, oklah sebab Pas ada ahli Parlimen paling ramai, Pas kuasai empat negeri (termasuk Perlis yang kini MB dari Bersatu),Pas tidak menggantung atau memecat Ahli Parlimennya, Pas memiliki jentera pilihan raya yang kekuatan turut ditumpang oleh Bersatu dan tanpa Pas sudah pasti PN tiada apa-apa kelebihan.

Inilah antara perkara yang perlu difahami oleh pemimpin Bersatu. Janganlah bila Pas melakukan apa-apa tindakan, di belakang  ada pemimpin Bersatu menuduh Pas angkuh.

Penulis tidak pasti apakah keputusan yang akan dibuat oleh Pas dalam tempoh dua tiga hari lagi mengenai hubungan dengan Bersatu tetapi yang pasti Pas tidak perlu lagi tunduk dengan Bersatu.

Pas perlu tegas dengan pendirian dan keputusannya jika ia boleh mendatangkan kebaikan kepada parti itu dan PN. Pas tidak harus terperangkap dengan  krisis politik dalaman dan peribadi Bersatu.

Soal Bersatu memecat Hamzah sudah selesai, kini Hamzah akan tubuh parti baru yang dijangka diumumkan bulan depan. Hamzah dan rakan-rakannya ada kekuatan memandangkan majoriti ahli Parlimen bersama beliau menang pilihan raya atas kapasiti sendiri.

Jika kehadiran Hamzah boleh mendatangkan keuntungan kepada PN, kenapa pula Pas harus tunduk dengan tekanan Bersatu menolak parti Hamzah? Berapa banyak kerusi Parlimen Bersatu boleh menang atau pertahankan?

Kalau Bersatu berasa mereka sudah kuat dan konsisten menolak kemasukan parti-parti Melayu lain, Bersatu boleh tinggalkan PN. Mungkin Bersatu boleh buat gabungan sendiri dengan penyertaan parti-parti dalam IPR.

KESIMPULANNYA, Pas harus menunjukkan ketegasan dalam berhadapan dengan kerenah politik Bersatu. Pas perlu tegas bukannya ‘hangat-hangat tahi ayam’ dalam soal mengkaji hubungan dengan Bersatu. Perlu buat satu keputusan yang konkrit dan muktamad.

Penulis percaya di peringkat akar umbi Pas, mereka sudah lama tidak selesa dengan sikap Bersatu tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Namun jika kepimpinan Pas terus berlembut dengan Bersatu..tidak mustahil akar umbi akan melakukan penolakan total, bukan kepada calon Pas tetapi kepada calon Bersatu dalam pilihan raya.

Khabarnya riak-riaknya sudah ada, keadaannnya  bagaikan puncak gunung berapi yang mula keluarkan asap…tiba masanya pasti ia memuntahkan lava, begitulah dalam Pas, apa yang berlaku bukan akibat terhasut fitnah tetapi kesabaran yang ‘semakin menanah’.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img