Tikam leher rakan wanita: Mahkamah arah ejen hartanah jalani penilaian psikiatri

MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini memerintahkan ejen hartanah yang menikam kenalan wanitanya dalam kejadian di Titi Gajah, Kepala Batas pada 17 Mei lalu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk penilaian psikiatri.

Hakim N Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh, Muhammad Ilhamni Badaruddin, 32, dirujuk ke hospital berkenaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tata Cara Jenayah.

Permohonan tersebut dibuat oleh peguam tertuduh, Mohd Hakim Hamran.

Terdahulu, semasa pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.

Muhammad Ilhamni yang didakwa menikam leher rakan wanitanya dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah, tiba di Mahkamah Sesyen Alor Setar kira-kira jam 8.36 pagi.

Tertuduh yang berkemeja T merah dan seluar panjang itu tiba dengan van polis dan diiringi anggota polis untuk proses pendakwaan bagi Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 9.19 malam itu, seorang wanita berusia 35 tahun cedera di leher dipercayai ditikam rakan lelaki di dalam kereta di hadapan sebuah restoran.

Bagaimanapun suspek yang melarikan diri akhirnya berjaya ditahan polis selepas empat jam kejadian berlaku dan pisau rambo yang digunakan ditemui keesokan hari di kawasan sawah berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dalam sidang media sebelum ini berkata, kejadian itu dipercayai bermotifkan cemburu atau cinta tidak berbalas.

BERITA LANJUT MENYUSUL

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img