PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengesahkan tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam negara ditamatkan mulai 28 Mei lalu atas permintaan pihak penerbit sendiri.
FINAS berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem yang berurusan dengan pihak pawagam.
“Berdasarkan emel yang dikongsikan kepada FINAS, penerbit filem berkenaan iaitu Elepfilm Entertainment Sdn Bhd telah meminta supaya tayangan filem tersebut dihentikan bermula tarikh berkenaan.
“Semakan FINAS dengan pengedar dan pemamer filem mendapati penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak,” menurut FINAS dalam kenyataan hari ini.
FINAS turut berkata, filem tersebut sebelum ini telah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei lalu.
Filem itu mula ditayangkan pada 21 Mei lalu di 120 skrin pawagam di seluruh negara.
Menurut FINAS, pihaknya sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada penerbit berhubung keputusan menamatkan tayangan filem berkenaan.
“Namun sehingga kini penerbit masih belum dapat dihubungi meskipun beberapa usaha telah dilakukan.
“Pihaknya akan terus mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkaitan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu lagi.
Media sebelum ini melaaporkan, filem Konspirasi yang ditayangkan di pawagam sejak 21 Mei lalu dilaporkan dihentikan tayangan serta-merta sekali gus mencetuskan kejutan dalam kalangan peminat dan penggiat industri.
Perkara itu dikongsikan pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim menerusi platform Threads, yang turut meluahkan rasa terkejut dengan keputusan berkenaan.
“Saya dapat satu lagi berita yang mengejutkan, filem Konspirasi terpaksa dihentikan tayangan di semua panggung wayang serta-merta.
“Malaysia, apa yang terjadi? Jujurnya ini kali kedua saya menghadapi situasi sangat pelik fasal filem,” katanya.


