JPN terima 1,575 permohonan ringkaskan nama panjang sejak 2024

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 1,575 permohonan untuk meminda nama panjang kepada nama lebih ringkas pada sijil kelahiran, sepanjang tempoh 2024 hingga hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, jumlah itu membabitkan 719 permohonan untuk meringkaskan nama pada 2024, diikuti 624 permohonan pada 2025, dan 232 permohonan direkodkan sejak Januari lalu hingga hari ini.

“Peranan dan fungsi JPN adalah sebagai pendaftar. Oleh itu, kami tidak menghalang sesiapa untuk mendaftarkan nama anak walau sepanjang mana sekali pun.

“Namun sebagai pendaftar, kami boleh menasihati masyarakat supaya mempertimbangkan implikasinya pada masa depan, misalnya ketika mengisi borang atau menguruskan urusan rasmi seperti perkahwinan.

“Berdasarkan pengalaman kami, ramai ibu bapa yang memilih nama panjang akhirnya kembali untuk meminda dan meringkaskan nama anak mereka,” katanya kepada pemberita pada Program Santuni MADANI di Masjid Kampung Padang Tanjung, dekat Bukit Payong di Marang hari ini.

Badrul Hisham berkata, JPN sentiasa bersedia membantu mana-mana individu yang ingin meminda atau meringkaskan nama, di mana mereka boleh berbuat demikian dengan hadir ke mana-mana kaunter jabatan itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPN kini berada pada peringkat akhir persediaan untuk pelaksanaan pindaan Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.

Berdasarkan pindaan telah diluluskan Parlimen itu, katanya, anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia akan memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan.

“Selama ini, anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia tetapi bapa bukan warganegara, perlu memohon kewarganegaraan. Sebaliknya jika bapa adalah warganegara Malaysia pula, kewarganegaraan diberikan secara automatik.

“Keadaan ini menimbulkan isu ketidakseimbangan terhadap kaum ibu. Oleh itu, pindaan terbabit diusahakan dan telah mendapat sokongan majoriti di Parlimen. Kini, kami hanya menunggu tarikh penguatkuasaannya,” katanya.

Terdahulu, Badrul Hisham yang juga anak jati Kampung Padang Tanjung berkata, empat lembu hasil sumbangan pelbagai pihak dikorbankan hari ini, dan diagihkan kepada penduduk kampung.

Selain itu katanya, sebahagian daging korban turut dimasak secara gotong-royong oleh komuniti setempat untuk dinikmati bersama.

Beliau turut merasmikan dewan makan di Masjid Kampung Padang Tanjung yang dibina hasil peruntukan Kampung Angkat MADANI JPN bagi 2025, sebagai kemudahan serta pusat aktiviti dan program kemasyarakatan penduduk setempat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img