PERKHIDMATAN Aerotrain di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali beroperasi sepenuhnya selama 24 jam bermula jam 12 tengah malam esok, selepas Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) selesai dilaksanakan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelan yang dilaksanakan sejak November 2025 itu diselaraskan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan sudah disahkan oleh penilai kereta api bebas.
“CAP merangkumi tiga peringkat berstruktur iaitu kerja pemeriksaan dan pembaikan, ujian serta pengesahan sistem, dan operasi percubaan.
“Ujian ketahanan turut dijalankan dalam tempoh 24 jam dan 48 jam, melibatkan keadaan dengan penumpang serta tanpa penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan Aerotrain merekodkan kadar Ketersediaan Perkhidmatan Operasi sebanyak 100 peratus sejak Januari lalu.
Anthony berkata, waktu kerja kejuruteraan harian dari 12 tengah malam hingga 5 pagi akan terus dikekalkan, dengan sebuah tren kekal beroperasi bagi membawa penumpang sementara kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan rutin dijalankan.
“Kementerian Pengangkutan melalui APAD akan terus melaksanakan pengawasan kawal selia terhadap operasi Aerotrain, manakala Malaysia Airports kekal bertanggungjawab memastikan standard perkhidmatan yang ditetapkan di bawah pelan ini terus dipatuhi,” katanya.


