EMPAT sekeluarga yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam, petang tadi sempat menghadiri majlis tahlil dan doa selamat salah seorang ahli keluarga mereka di Melaka, Sabtu lalu.
Ahli keluarga mangsa, Nurul Hidayah Kamarruddin, 29, berkata, arwah neneknya, Semek Mat Soh, 73, bersama ibu dan bapa saudaranya, Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10, turut bermalam di rumahnya.
“Saya mengadakan majlis tahlil dan doa selamat sempena masuk ke rumah baharu, jadi mereka berempat datang dan bermalam di rumah saya pada hari terbabit.
“Keesokan hari (Ahad) sekitar jam 9 pagi, mereka bergerak pulang ke Kota Tinggi tetapi sebelum itu, mereka juga berhasrat untuk singgah di rumah salah seorang ahli keluarga kami di Kampung Alai, Merlimau.
“Arwah makcik dan pakcik menjemput nenek dan Nur Airish Syifa di Terengganu memandangkan cuti panjang termasuk sambutan Aidiladha. Mereka berdua (nenek dan Nur Airish Syifa) sepatutnya pulang ke Terengganu hujung minggu ini.
“Namun apakan daya, kepulangan mereka dalam keadaan menyedihkan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang hari ini, lapor BH.
Katanya lagi, dia hanya mengetahui tragedi itu selepas menerima panggilan daripada salah seorang ahli keluarga pada jam 2.40 petang.
Tambahnya, sebaik menerima berita mengejutkan itu, dia terus berhubung dengan ibunya, Shazariza Othman, 52, di Terengganu bagi memaklumkan perkara itu.
“Mereka beritahu nenek sekeluarga kemalangan dan pada masa sama, mereka cakap semuanya sudah tiada. Saya hanya terdiam sebaik dimaklumkan kesedihan itu,” katanya.
Menurutnya lagi, arwah neneknya dijaga bergilir-gilir oleh adik-beradik ibunya selepas mengalami angin ahmar pada badan sebelah kanan.
Dalam kejadian jam 1 petang itu, empat sekeluarga itu maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki mereka terlibat nahas membabitkan lima buah kenderaan.
Ketika kejadian, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah Aiman dan Nor Azlina di Kota Tinggi.
Pasangan Aiman dan Nor Azlina bekerja dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Sedili.


