*Perdana Menteri dan pasukannya hubungi pihak berkepentingan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan pasukannya hubung pihak berkepentingan, termasuk diplomatik, bagi memastikan sukarelawan serta aktivis dari Malaysia, ASEAN dan antarabangsa yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan segera.
Perdana Menteri berkata perkembangan mengenai proses pembebasan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini.
“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
*Tindakan Israel menindas usaha kemanusiaan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengecam keras tindakan Israel menyekat misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang membawa sukarelawan serta bekalan penting untuk rakyat Palestin.
Beliau menegaskan tindakan Israel itu jelas memperlihatkan wajah sebenar rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang, nyawa manusia, dan sanggup menindas usaha kemanusiaan.
“Dunia sekali lagi menyaksikan wajah sebenar Israel sebagai sebuah rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang, tidak menghormati nyawa, malah sanggup menindas misi bantuan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
- Malaysia tuntut pembebasan serta-merta
Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat ke atas semua aktivis, petugas kemanusiaan dan kapal-kapal termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan turut menuntut agar proses penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan dengan selamat tanpa halangan.
“Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa Global Sumud Flotilla merupakan satu inisiatif kemanusiaan yang sah dan aman, yang digerakkan untuk menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza, ‘’ kata kenyataan kementerian itu.