UMNO sudah jangka keputusan Pas henti kerjasama dengan Bersatu – Ahmad Zahid

UMNO sudah menjangkakan keputusan Pas untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, perkembangan itu memberi ibrah atau pengajaran bahawa sebarang kolaborasi mesti tidak hanya bersandarkan kepada sudut pandang politik semata-mata, tetapi harus dilihat dari segi pembangunan dan kesatuan sebuah negara bangsa.

“Kami (UMNO) telah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Kita bukan mendahului hukum Allah, tetapi ini merupakan satu telahan dari sudut pandang politik, yang sebarang kolaborasi mesti dilingkungi dengan penuh keikhlasan dan tidak ada unsur pengkhianatan di dalamnya.

“Ia (kolaborasi) mesti dibuat untuk jangka masa panjang agar matlamat negara dapat dicapai, penyatuan anak bangsa dapat dilakukan dan saya harap jika ada pun langkah yang akan dilakukan selepas ini, ia mesti bukan hanya tandatangan di atas kertas, baiah yang dilakukan, tetapi yang penting ialah keikhlasan yang harus diterjemahkan untuk jangka panjang dan berkekalan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Putrajaya hari ini.

Pas semalam secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan malam tadi berkata, ketetapan itu, dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pusat semalam selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan dengan Bersatu.

Mengulas mengenai pertemuan UMNO dan Pas pada 4 Jun, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyifatkannya sebagai satu langkah positif yang perlu disusuli dengan beberapa langkah lain.

Beliau berkata, pertemuan itu inisiatif kepimpinan kedua-dua parti untuk merungkai beberapa permasalahan dan tidak tertumpu kepada agenda politik.

“Jika ia ada terkait pun dengan politik, ia tentunya akan lebih diperhalusi kerana kita (UMNO) tetap berada di dalam Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sekarang ini.

“Itu asas kita (UMNO) dan asas itu mesti dihormati,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img