Empat individu termasuk tiga remaja ditahan terlibat aksi tular wheelie

TINDAKAN sekumpulan penunggang motosikal memuat naik aksi wheelie yang dirakam dalam media sosial membawa padah apabila polis menahan empat individu termasuk tiga remaja dalam dua operasi di sekitar ibu negara awal pagi tadi.

Kesemua suspek ditahan di kediaman masing-masing antara jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi tadi hasil risikan dan operasi Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kes pertama membabitkan video berdurasi 47 saat yang dimuat naik menerusi satu reel di Facebook.

“Video itu memaparkan dua penunggang motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 135LC FI melakukan aksi wheelie di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu antara jam 2 hingga 2.30 pagi.

“Hasil siasatan polis membawa kepada tangkapan tiga lelaki tempatan termasuk dua remaja, masing-masing berusia 24 dan 17 tahun. Salah seorang remaja yang ditahan adalah pembonceng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes kedua pula membabitkan video berdurasi 45 saat yang turut dimuat naik menerusi satu akaun Facebook.

“Video itu memaparkan seorang penunggang motosikal jenis Honda EX5 melakukan aksi wheelie sebelum terjatuh di sekitar Jalan Ampang, Jalan Raja Laut dan beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur antara jam 2 hingga 2.30 pagi pada Ahad lalu.

“Susulan itu, JSPT Kuala Lumpur menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun untuk siasatan,” katanya yang memaklumkan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain serta diri sendiri.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai sebarang aksi samseng jalanan termasuk wheelie kerana perbuatan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang jalan raya.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img