SEORANG pemandu maut terperangkap di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbakar selepas dipercayai merempuh sebuah treler di Jalan Batu 9, Kampung Semangat, Segari, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa yang memandu Toyota Innova rentung selepas kenderaannya terbakar hampir keseluruhan sehingga identitinya gagal dikenal pasti.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati Toyota Innova berkenaan sedang marak terbakar.
“Ketika pasukan bomba tiba, kebakaran melibatkan kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan kenderaan.
“Selepas api berjaya dipadamkan, kami menemui seorang mangsa terperangkap dalam kenderaan itu yang rentung hingga tidak dapat dikenal pasti dan jantinanya juga belum diketahui,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati MPV berkenaan dipercayai merempuh sebuah treler sebelum terbakar.
Katanya, pemandu treler berusia 60 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan awal daripada petugas perubatan di lokasi kejadian.
“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sabarodzi berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mayat mangsa daripada bangkai kenderaan yang musnah terbakar sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan jalan bagi mengalihkan serpihan kemalangan serta tumpahan minyak yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
“Operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera berjaya dikawal pada jam 5.30 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.48 pagi,” katanya.






