Polis periksa CCTV, kesan suspek cabul wanita pulang kerja sendirian

POLIS sedang menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengumpul bukti bagi mengesan seorang lelaki yang dipercayai mencabul seorang wanita ketika mangsa berjalan pulang dari tempat kerja di Setia Alam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya kini meneliti rakaman CCTV dari kawasan sekitar selain menemubual saksi yang berpotensi membantu siasatan.

Menurutnya, identiti suspek masih belum dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

“Suspek masih belum dikenal pasti dan usaha kami ketika ini tertumpu kepada mengesan pergerakannya,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

“Kami merayu sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi pegawai penyiasat atau balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam kelmarin, seorang wanita berusia awal 20-an mendakwa diserang dari belakang ketika berjalan seorang diri melalui sebuah kawasan perumahan untuk pulang ke rumah.

Mangsa membuat laporan polis pada jam 9.06 malam dan memaklumkan suspek yang memakai baju merah serta seluar hitam bertindak memeluknya dari belakang sebelum menutup mulutnya.

Suspek turut didakwa mencium dan meraba mangsa sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 011-16652402 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img