PERBUATAN keji tiga sekawan terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun membawa mereka ke kandang tertuduh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini apabila didakwa atas pertuduhan merogol mangsa di Kuala Krai, hujung bulan lalu..
Tertuduh, remaja 18 tahun serta Mohamad Aiman Firdaus Nazri, 24, dan Muhammad Hakimi Razlan, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun 11 bulan ketika kejadian.
Remaja berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan semak di tepi jalan sebuah kampung di Manek Urai, Kuala Krai, jam 10.30 malam pada 27 Mei 2026.
Manakala Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah terbengkalai di sebuah kampung di Laloh, Kuala Krai, jam 1 pagi dan 1.30 pagi pada 28 Mei 2026.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Selain itu, Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi turut didakwa melakukan kontak fizikal terhadap mangsa yang sama di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan terhadap mereka didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala remaja 18 tahun itu diwakili peguam Muhammad Yusoff Abdullah serta Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi diwakili peguam Muhammad Izzat Hasizan.
Terdahulu, Nur Kamilah tidak mencadangkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Muhammad Yusoff memohon ikat jamin yang minimum diberikan kepada anak guamnya yang baru sahaja mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa bulan lalu.
Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan dilarang mengganggu saksi dan mangsa selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat.
Mahkamah juga membenarkan jaminan RM12,000 masing-masing dengan seorang penjamin kepada Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi termasuk syarat tambahan yang sama.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Julai depan.






