Bekas ahli dan pemimpin antara 21,858 ahli baharu UMNO sertai Rumah Bangsa

UMNO merekodkan kemasukan sejumlah 21,858 ahli baharu, majoritinya anak muda termasuk menerima kembali bekas ahli dan pemimpin yang sebelum ini meninggalkan parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, angka itu direkodkan sejak parti itu melaksanakan inisiatif Rumah Bangsa pada Februari, selain pendaftaran dalam talian yang dibuka sejak 20 April lalu.

“Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, pendaftaran ahli baharu dan kemasukan kembali bekas-bekas pimpinan dan ahli-ahli parti UMNO termasuk pimpinan Bersatu seluruh Malaysia berjumlah 21,858 orang.

“Moga Allah berkati dan rahmati Rumah Bangsa ini yang banyak jasanya dalam mencorakkan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang lapan dekad di persada perjuangan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Antara bekas pemimpin yang kembali ke Rumah Bangsa termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pemimpin veteran juga bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sebelum ini digantung keahliannya sejak 2023 juga diterima kembali ke dalam parti itu.

Inisiatif Rumah Bangsa dilaksana UMNO bagi memberi peluang kepada semua bekas ahli dan pemimpinnya yang pernah keluar, dipecat dan digantung keahliannya supaya kembali ke perjuangan UMNO.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lalu menyeru parti yang lahir daripada perpecahan UMNO supaya kembali bersatu di bawah payung perjuangan asal demi masa depan orang Melayu dan kestabilan politik negara.

Beliau berkata, UMNO sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak yang benar-benar ikhlas mahu kembali bersama perjuangan parti itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img