SEMUA pihak diminta memanfaatkan tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dengan sebaiknya bagi membentangkan tawaran, rekod pencapaian serta hala tuju masing-masing secara berhemah dan tertib.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu berkata, jentera BN Johor khususnya digesan berkempen dengan penuh tertib dan beradab demi memastikan proses demokrasi berjalan lancar.
“Semoga tempoh kempen yang ditetapkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua pihak untuk membentangkan tawaran, rekod pencapaian dan hala tuju masing-masing secara matang, berhemah.
“Kepada rakyat Bangsa Johor yang saya kasihi, saya berharap tempoh ini menjadi ruang untuk membuat penilaian yang adil dan rasional. Nilailah berdasarkan rekod, kestabilan, pencapaian dan kemampuan untuk terus membawa Johor ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan Johor kini berada di landasan yang baik dan berharap kesinambungan kemajuan dapat diteruskan dengan sokongan rakyat.
“Johor telah berada di landasan yang baik. Insya-Allah, dengan sokongan rakyat, kita akan terus mempertahankan kestabilan dan meneruskan kemajuan demi masa depan negeri serta Bangsa Johor,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 11 Julai depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala PRN Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Ogos.
SPR turut menetapkan hari penamaan calon PRN Johor pada 27 Jun ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
PRN Johor diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi pada 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.





