POLIS menahan 13 lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan berpunca daripada pertikaian berkaitan hutang di sebuah premis perniagaan di Jinjang Utara, Kuala Lumpur semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 3.27 petang berhubung pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di lokasi berkenaan.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan polis telah digerakkan ke lokasi bagi mengawal keadaan dan menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan urusan hutang yang kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan membabitkan beberapa individu sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Basri berkata, bertindak atas maklumat diperoleh, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Kuala Lumpur melancarkan beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, hasil operasi itu, seramai 13 lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 51 tahun berjaya ditahan dalam tempoh kurang 12 jam selepas kejadian.
“Semakan rekod mendapati ada beberapa suspek yang mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau.
“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 Jun bagi membantu siasatan,” katanya.
Basri berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk keganasan, perbuatan mengambil tindakan sendiri serta aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan menyerahkan sebarang pertikaian kepada pihak berkuasa supaya tindakan diambil mengikut saluran undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkan maklumat atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03- 4048 2222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
Terdahulu, video rakaman pergaduhan membabitkan beberapa individu di Jinjang Utara itu tular dalam media sosial sejak semalam.






