SEORANG warga emas dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Krai hari ini atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang penjawat awam, minggu lalu.
Tertuduh, Mat Saair Setapa, 66, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Amal Razim Alias yang turut memerintahkan lelaki berkenaan dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda RM1,000.
Bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun dengan cara menampar pipi kanan mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sungai Rek, kira-kira jam 6.30 petang pada 12 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan selepas bertindak menolak seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari arah belakang sebelum menampar pipi kanan anggota berkenaan selepas diminta menunjukkan kad pengenalan diri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.






