SEORANG juruelektrik maut dalam kemalangan ngeri apabila tercampak sebelum dilanggar dua kenderaan lain selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan jip yang keluar dari simpang di Jalan Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara malam tadi.
Kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.05 malam dan mangsa, Muhammad Arif Taufek, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Padang Serai menghala ke Tasek Gelugor berlanggar dengan jip dipandu lelaki berusia 55 tahun yang keluar dari simpang dan mahu membelok ke kanan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar dua kenderaan lain yang kedua-duanya dipandu pelajar berusia 21 dan 23 tahun.
“Berikutan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata, mayat mangsa selesai dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) pagi tadi sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.
Beliau turut memaklumkan pemandu jip yang bekerja sebagai tukang besi ditahan untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif dadah. Kita turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka daripada salah sebuah kenderaan yang terbabit kemalangan dan sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






