ORANG ramai khususnya pencari kerja diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan kewujudan laman sesawang palsu yang menyamar sebagai portal pengambilan pekerja rasmi AirAsia.
AirAsia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan syarikat penerbangan tambang rendah itu mengesan sebuah laman pengambilan pekerja palsu yang kini sedang tular dan dipercayai menyasarkan individu yang sedang mencari peluang pekerjaan.
Menurut AirAsia, taktik penipuan itu dilakukan dengan meniru portal kerjaya rasmi syarikat bagi memperdaya mangsa supaya menyerahkan maklumat peribadi selain membuat bayaran kononnya sebagai yuran pemprosesan untuk meneruskan proses pengambilan pekerja.
“Penipuan itu meniru laman kerjaya rasmi AirAsia bagi mengumpul maklumat peribadi dan menuntut bayaran sebagai yuran pemprosesan untuk meneruskan proses pengambilan pekerja palsu,” menurut kenyataan itu.
AirAsia menegaskan bahawa satu-satunya saluran rasmi bagi permohonan pekerjaan adalah melalui portal kerjaya rasmi AirAsia dan syarikat tidak pernah mengenakan sebarang bayaran kepada pemohon pada mana-mana peringkat proses pengambilan pekerja.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat peribadi, dokumen pengenalan atau butiran pembayaran dengan mana-mana laman sesawang yang diragui kesahihannya.
AirAsia turut memaklumkan akan terus memantau sebarang cubaan penipuan yang menggunakan identiti syarikat serta menggalakkan orang ramai mengesahkan terlebih dahulu setiap maklumat berkaitan pengambilan pekerja melalui saluran rasmi sebelum membuat sebarang permohonan.






