
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Dr.Puad Zarkashi telah mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Kata beliau, ‘’Faktor usia adalah faktor utama. Saya sudah berusia 69 tahun. Kalau lima tahun lagi saya akan berumur 74 tahun. Pada saya tidak sesuai di usia tersebut mahu bertanding lagi di kerusi DUN. (Datuk) Onn Hafiz wajar diberi peluang memimpin barisan muda bertanding dan memimpin kerajaan negeri. Sepatutnya yang berusia 50 tahun ke bawah sahaja yang wajar bertanding di kerusi DUN.’’
Dalam soal faktor usia ini, penulis amat bersetuju jika ia juga dilaksanakan di negeri-negeri lain bagi kerusi DUN manakala bagi kerusi Parlimen pula, tidak salah kalau dipertimbangkan ia dihadkan kepada 70 tahun ke bawah.
Mungkin bagi kerusi Parlimen tersebut, ia boleh dilaksanakan mulai Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-17 kerana untuk PRU-16 rasanya sudah suntuk memandangkan ia akan berlangsung tidak lama lagi. Tetapi bagi peringkat DUN seharusnya tidak ada masalah jika mana-mana parti melaksanakan apa yang dicadangkan oleh puak.
Sementara bagi jawatan Menteri Besar boleh sahaja diberikan kepada mereka berusia 70 tahun ke bawah tetapi bagi jawatan ADUN, sudah tiba masanya parti-parti memikirkan untuk meletakkan calon-calon muka baru. Jangan ada lagi calon yang ibarat ‘mahu menongkat langit’ terlalu sukar melepaskan jawatan disandangkan.
Meletakkan calon-calon muda bukan untuk kepentingan parti semata-mata sebaliknya demi negara. Masa sudah tiba dalam tempoh lima tahun akan datang, negara diuruskan mereka yang berusia bawah 70 tahun.
Sememangnya penulis tidak menafikan ramai ahli politik berpengalaman dan boleh bekerja tetapi tidak salah diberikan kepada mereka berusia dalam lingkungan umur tersebut. Ia memandangkan dalam semua parti tidak kira kerajaan mahupun pembangkang ada pemimpin yang layak apa yang penting ia diberi peluang.
Tetapi masalahnya dalam politik Malaysia khususnya dalam parti Melayu cantas mencantas amat hebat. Bila nampak sikit ada yang berpotensi awal-awal lagi sudah ‘dicahketingkan’. Selain itu adalah pula sindrom hanya individu tertentu sahaja layak memimpin – sikap seperti inilah yang menyebabkan pelapis tidak dapat dilahirkan.
Sebenarnya semua parti adalah calon berpotensi untuk jadi pemimpin negara sama ada menjadi menteri atau Perdana Menteri. Tetapi malangnya ramai yang tidak diketengahkan. Sikap seumpama ini perlu diubah demi memastikan negara mempunyai pemimpin berwibawa pada masa depan.
Cuba fikirkan sudah berapa lama kita melihat watak-watak yang sama sejak berpuluh-puluh tahun lalu dalam arena politik negara. Ada sesetengah sudah jadi Perdana Menteri pun masih berangan-angan mahu kembali ke jawatan itu dan ada pula sudah bertahun-tahun duduk dalam Kabinet tetapi tidak naik pangkat. Mereka tidak mahu bersikap seperti Puad berundur lebih awal sebelum diundurkan.
Sebenarnya bukan sahaja Puad malah sebelum ini sudah ramai ahli politik berjiwa besar seperti itu demi memikirkan parti dan negara.Semoga ia akan dicontohi oleh sesetengah ahli politik yang penulis rasa cukup-cukuplah mahu ‘menongkat langit’. Berilah peluang kepada generasi muda dilatih untuk menguruskan negeri dan negara.
Jangan ingat kita sahaja yang hebat, sedangkan dalam kalangan kita ada lagi orang yang lebih hebat.






