POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 58 individu menerusi 52 serbuan yang dijalankan di seluruh negara dalam Op Soga XI bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026.
Operasi bersepadu yang dilaksanakan sejak 11 Jun lalu hingga 19 Julai depan itu dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 54 lelaki dan empat wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian secara dalam talian.
Menurutnya, pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM25,684.65 selain mengesan nilai pertaruhan mencecah RM488,582.47.
“Operasi ini dilaksanakan bagi mengekang aktiviti perjudian dan pertaruhan haram yang lazimnya meningkat sempena kejohanan sukan berskala besar.
“Setakat ini, sebanyak 42 platform dikenal pasti digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi perjudian melibatkan laman sesawang, aplikasi, media sosial serta pelbagai platform dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan pengesanan itu, tindakan menyekat laman sesawang serta menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan bantuan MCMC.
Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) berkaitan bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Kumar berkata, PDRM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan selain memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi memastikan kegiatan perjudian haram dapat dibanteras.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha memerangi kegiatan pertaruhan dan perjudian haram.






