Aktivis flotilla dipaksa melutut tangan diikat lima jam – ADALAH

”Selain dinafikan akses kepada air, tandas dan ubat-ubatan, mereka juga dinafikan akses kepada peguam, yang melanggar hak asasi mereka kepada proses keadilan, perbicaraan yang adil dan wakil undang-undang.” – Peguam ADALAH

DIPAKSA melutut dengan tangan diikat menggunakan tali zip nilon selama sekurang-kurangnya lima jam kerana melaungkan ‘Bebas Palestin’, antara tindakan yang dilakukan oleh tentera Israel kepada aktivis Global Sumud Flotilla (GSF).

Dalam satu kenyataan, Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) mendedahkan, dalam tempoh 24 jam lalu, ADALAH dapat bertemu dengan 331 sukarelawan di Pelabuhan Ashdod.

Kumpulan sukarelawan itu kini berdepan perbicaraan di hadapan pihak berkuasa imigresen Israel.

Bagaimanapun, katanya, beberapa peserta sebelum itu dipercayai melalui proses tanpa khidmat nasihat undang-undang kerana peguam ADALAH pada mulanya tidak dibenarkan mengakses mereka.

“Hak peserta dicabuli secara sistematik sepanjang proses ini. Selain dinafikan akses kepada air, tandas dan ubat-ubatan, mereka juga dinafikan akses kepada peguam, yang melanggar hak asasi mereka kepada proses keadilan, perbicaraan yang adil dan wakil undang-undang.

“Semalam, ketika lokasi sukarelawan flotilla tidak diketahui, peguam dibiar menunggu kira-kira sembilan jam di luar Pelabuhan Ashdod dan tidak dimaklumkan apabila pihak imigresen Israel mula memproses dan menjalankan perbicaraan. Ia hanya diketahui selepas tahanan sendiri menghubungi mereka secara langsung,’’ kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, walaupun beberapa kali dihalang masuk oleh polis Israel, peguam ADALAH akhirnya berjaya memasuki pelabuhan dan memberikan khidmat nasihat kepada 331 peserta.

“Beberapa peserta melaporkan dikasari, diancam dan diganggu, termasuk dikejut secara kasar setiap kali cuba tidur,” katanya dalam kenyataan, awal pagi tadi.

ADALAH memaklumkan, pihak berkuasa kemudian memindahkan peserta dari Ashdod ke Penjara Ketziot di Naqab dan memulakan perbicaraan tribunal tanpa memaklumkan pasukan peguam serta meneruskan proses itu sepenuhnya tanpa kehadiran peguam.

“ADALAH kini hadir dalam perbicaraan tribunal yang mana perintah tahanan sedang disemak semula. ADALAH sedang mengambil tindakan undang-undang untuk memastikan setiap peserta dapat dikenal pasti, sementara meneruskan lawatan ke penjara, dan pada masa sama, menggesa supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan haram dan pemulangan barangan peribadi serta bekalan bantuan kemanusiaan mereka,” katanya.

Menteri Sayap Kanan Israel, Itamar Ben Guir datang ke Port Ashdod, Tel Aviv malam tadi untuk melakukan provokasi ke atas aktivis flotilla yang ditahan tentera Zionis.

Sementara itu, ADALAH menyifatkan tindakan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, ke lokasi penahanan sukarelawan GSF semalam, jelas untuk menghina dan menakut-nakutkan sukarelawan.

“Peserta flotilla dirakam dan dieksploitasi dalam tindakan kawalan yang menjatuhkan maruah. Paparan penghinaan ini berlaku serentak dengan kempen fitnah oleh pegawai Israel yang secara palsu melabelkan peserta flotilla sebagai pengganas dalam usaha memperlekeh misi keamanan mereka dan menghalalkan taktik penindasan yang digunakan.

“Keseluruhan proses ini tidak sah dari awal hingga akhir. Pintasan (oleh kapal Israel) itu sendiri melanggar undang-undang antarabangsa, begitu juga penculikan di perairan antarabangsa. Usaha Israel mewajarkan tindakan ini melalui penguatkuasaan sekatan tidak boleh diterima kerana sekatan itu sendiri tidak sah.

”Ia satu bentuk hukuman kolektif dan menjadi alat utama dalam pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku, termasuk penggunaan kebuluran secara sengaja sebagai kaedah peperangan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img