DATA rampasan rokok elektronik atau vape oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga April lepas merekodkan sebanyak 402 kes membabitkan peranti dan cecair rokok elektronik dikesan dicampurkan dengan pelbagai jenis dadah sintetik berbahaya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bukti itu menjadi asas kuat kepada kerajaan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik di negara ini.
“Pengesanan dadah sintetik seperti benzodiazepine, nimetazepam, MDMA, cannabinoid, tetrahydrocannabinoid, dan juga methamphetamine di dalam sediaan rokok elektronik ini pastinya dilarang dan terlarang untuk digunakan, khususnya terhadap anak-anak di bawah umur atau OBD (Orang Belum Dewasa).
“Dengan bukti-bukti itu sahaja, ia sudah menjadi satu asas kuat yang mengarah ke arah pengharaman rokok elektronik. Itu satu hujah yang kukuh. Perkara ini kini berada dalam pengamatan kerajaan, dan KKM turut bersama-sama dalam hal itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Cik Era Naik MRT di stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), di ibu negara hari ini.
Pada 11 Jun lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai Piu Piu di pasaran, yang dikesan dicampurkan dalam cecair rokok elektronik membuktikan peranti itu wajar diharamkan.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius insiden lambakan cecair rokok elektronik yang dikesan mengandungi dadah sintetik berbahaya dan menegaskan komitmen kerajaan melalui pendekatan menyeluruh bagi menangani ancaman berkenaan.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan kini tidak lagi hanya terletak di bahu KKM, sebaliknya digerakkan secara agresif melalui kerjasama strategik rentas agensi termasuk bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM.
Terdahulu, Dzulkefly melancarkan Program Cik Era Naik MRT, sebuah inisiatif bagi mempromosikan kesihatan awam secara santai dan interaktif kepada kira-kira 200,000 penumpang harian MRT Laluan Putrajaya bermula dari Stesen MRT Putrajaya Sentral sehingga ke Stesen MRT TRX.
Program itu adalah kesinambungan kepada kempen Kembara Beraya Bersama Cik Era pada Mac lepas bagi memperkenalkan Cik Era AI, sebuah aplikasi rakan maya berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menyediakan panduan digital buat individu yang berhasrat menghentikan tabiat merokok.
Sejak dilancarkan pada 15 Mac lepas, Cik Era AI telah merekodkan sebanyak 17,412 interaksi pengguna dengan purata 258 interaksi sehari, manakala promosi terbaharu hasil kerjasama strategik di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) mQuit Services telah berjaya melonjakkan kadar interaksi harian sebanyak 34 peratus kepada 347 interaksi sehari hingga 15 Jun lepas.
Selain memanfaatkan teknologi AI, KKM turut memperkukuh akses rawatan ketagihan nikotin menerusi platform JomQuit yang menyatukan 90 penyedia perkhidmatan swasta berdaftar serta telah membantu 9,349 klien sejak Oktober 2024.
Inisiatif sokongan seperti mQuit, JomQuit dan Cik Era AI berfungsi sebagai pelengkap kepada penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dalam usaha mengurangkan beban penyakit kronik, sekali gus merealisasikan aspirasi generasi bebas amalan merokok di Malaysia.






