
SELEPAS diumumkan menyertai Pas minggu lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek membuat kemunculan pertama di pentas ceramah parti berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan di sini pada malam Ahad.
Kehadiran bekas Exco kerajaan negeri itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau akan bertanding di DUN terbabit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Dakwaan itu dilihat mempunyai asas memandangkan beliau pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama sepenggal bermula 2018 hingga 2023.
Namun pada PRN lalu, beliau gagal mempertahankan kerusi berkenaan selepas bertanding sebagai calon Bebas susulan tidak lagi dicalonkan PKR.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Dr Rafie ditemui pemberita selepas program terbabit sekali lagi menegaskan bahawa penglibatannya bersama Pas hanya sebagai ahli biasa.
“Saya masih kekal sebagai ahli biasa, tapi sebagai menghormati adab, terpulang kepada pimpinan sama ada saya akan bertanding atau tidak,” katanya, lapor Sinar Harian.
Mohamad Rafie juga enggan mengulas lanjut sama ada beliau berharap bertanding di DUN Ampangan sekiranya diberi kepercayaan oleh Pas untuk menjadi calon.
Namun beliau mengakui ada dalam kalangan rakan-rakannya yang bertanya mengenai perkara itu.
“Saya tidak boleh mendahului keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan.
“Tapi yang paling penting ialah bagi saya untuk rakyat menilai, betapa perlunya untuk kita membuat perubahan, khususnya dalam konteks di Negeri Sembilan,”katanya.
Untuk rekod, pada PRN 2023, Mohamad Rafie yang merupakan penyandang kerusi DUN Ampangan daripada PKR ketika itu membuat kejutan apabila memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas selepas namanya tidak disenaraikan.
Bagaimanapun, beliau tewas dalam pertembungan tiga penjuru selepas memperoleh 3,079 undi.
Kerusi DUN itu dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman yang memperoleh 6,054 undi dengan majoriti 329 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mohamad Rafie yang bertanding atas tiket PH berjaya memenangi kerusi DUN Ampangan dengan majoriti 1,360 undi apabila memperoleh 6,801 undi selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.






