PEMPENGARUH media sosial, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman menceritakan detik cemas dialaminya apabila nyaris maut akibat lemas ketika bercuti di Bali, Indonesia pada 17 Jun lalu.
Abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq berkongsi pengalamannya itu menerusi video berdurasi enam minit yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya.
Syed Abdullah yang turut dikenali sebagai Space Dollah berkata, kejadian berlaku ketika dia berenang bersama Syed Saddiq dan beberapa ahli keluarga yang berada di pulau peranginan itu.
Disebabkan terlalu yakin dengan kemahiran berenang menyebabkan dia terperangkap dalam situasi berbahaya apabila dihanyutkan arus ke kawasan yang lebih dalam.
“Saya pergi ke laut dengan penuh keyakinan dan mengajak Hadi untuk berenang lebih jauh ke tengah. Ketika itu saya fikir saya seorang yang sangat pandai berenang. Ombak pula nampak biasa saja tapi saya silap besar.
“Saya terus berenang semakin jauh sehingga tidak sedar ombak menarik saya ke tengah laut. Semakin jauh saya berada dari pantai, semakin kuat ombak menghentam saya.
“Pada masa itulah saya sedar saya sudah terlalu jauh dan perlu kembali ke pantai, tetapi keadaan menjadi semakin sukar,” katanya.
Lebih mencemaskan apabila dia gagal menjejak dasar laut dan sukar melawan arus yang semakin kuat.
“Pada awalnya saya cuba bertenang. Saya sandarkan badan ke belakang dan berharap ombak akan membawa saya kembali ke pantai.
“Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila saya ditarik semakin jauh ke tengah. Ketika itu saya sedar keadaan sudah menjadi serius. Saya mula terminum air laut dalam jumlah yang banyak dan tenaga semakin lemah.
“Saya menjerit meminta tolong beberapa kali sambil melihat adik saya dan rakan-rakan berada tidak jauh dari situ tetapi tiada siapa yang mendengar kerana bunyi ombak terlalu kuat,” katanya.
Mengimbas detik paling mendebarkan itu, Space Dollah mengakui dia sudah pasrah dan menyangka ajalnya semakin hampir kerana tenaganya yang semakin berkurangan.
“Saya fikir saya akan mati. Saya sudah terlalu lemah, terlalu banyak minum air laut dan badan saya langsung tidak mampu bergerak seperti biasa.
“Saya mengucap ketika berada di tengah laut kerana saya benar-benar merasakan itu mungkin saat terakhir saya.
“Apabila seseorang sudah menjerit meminta tolong di tengah laut, itu bermakna keadaan benar-benar serius. Saya menjerit berkali-kali tetapi tiada siapa yang mendengar.
“Pada saat itu, saya rasa sangat tidak berdaya dan hanya menunggu apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, nasib menyebelahinya apabila Syed Saddiq tiba tepat pada masanya untuk membantu sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
“Tiba-tiba Syed Saddiq datang dari belakang. Saya sendiri tidak tahu dari mana dia muncul.
“Ketika itu kaki saya sudah terlalu lemah dan saya sudah tidak mampu berenang. Dia berada di belakang saya dan menolak badan saya perlahan-lahan ke arah pantai sehingga saya berjaya sampai ke kawasan yang selamat.
“Selepas tiba di pantai, saya menangis kerana terlalu bersyukur masih diberikan peluang untuk hidup,” katanya.
Katanya, insiden itu adalah pengalaman paling hampir dengan kematian yang pernah dilaluinya dalam seumur hidup.
“Kalau Syed Saddiq tidak datang pada waktu itu, saya benar-benar percaya saya sudah tiada. Itu adalah pengalaman paling menakutkan yang pernah saya lalui dan kali pertama saya berdepan situasi yang begitu hampir dengan kematian.
“Saya sangat bersyukur kerana masih hidup hari ini. Pengalaman itu mengajar saya bahawa laut bukan tempat yang boleh dipandang ringan walaupun kita merasakan diri kita pandai berenang.
“Hakikatnya, saya yang tinggi dan yakin dengan kemampuan sendiri pun gagal melawan kekuatan ombak,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Space Dollah turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air terutama sewaktu keadaan laut tidak menentu.
“Jangan sesekali menganggap laut itu selamat hanya kerana kita tahu berenang. Jika ombak kelihatan kuat, jangan biarkan anak-anak atau sesiapa berenang bersendirian.
“Bali akhirnya menjadi pengalaman paling menakutkan dalam hidup saya dan saya tidak mahu melalui situasi seperti itu lagi,” katanya.






