PDRM sedia libatkan Interpol kekang judi haram Piala Dunia 2026

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia mendapatkan bantuan agensi penguatkuasaan antarabangsa sekiranya dikesan wujud kegiatan perjudian haram atau sindiket mengatur perlawanan sempena Piala Dunia FIFA 2026 yang melibatkan rangkaian jenayah rentas negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, walaupun pemantauan ketika ini tertumpu kepada operasi sindiket dalam negara, pihaknya tidak menolak untuk memperluaskan kerjasama dengan rakan penguat kuasa luar termasuk Interpol dan Aseanpol mengikut keperluan.

Beliau berkata, antara cabaran utama ketika ini ialah perubahan taktik sindiket yang semakin bergantung kepada teknologi termasuk penggunaan aplikasi dalam talian, platform digital dan peranti pintar bagi menjalankan aktiviti pertaruhan secara tersembunyi.

“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di setiap kontinjen supaya memantau rapi dan mengambil tindakan tegas bagi menghentikan sepenuhnya kegiatan perjudian siber terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) ke-42 di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Sebelum ini, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan seramai 58 individu disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram ditahan menerusi Ops Soga XI yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 11 Jun lalu.

Operasi bersepadu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu turut merampas wang tunai RM25,684 selain merekodkan nilai pertaruhan mencecah RM488,582.

Dalam operasi sama, sebanyak 42 laman sesawang yang digunakan untuk mempromosikan kegiatan perjudian haram turut dikesan.

Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico kini memasuki saingan peringkat kumpulan dengan penyertaan 48 pasukan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img