GURU tuisyen yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun kerana merogol dua anak perempuannya perlu menunggu lebih lama apabila prosiding membabitkan tujuh lagi pertuduhan ditangguhkan pada Julai depan.
Mahkamah Sesyen Tawau menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula selepas laporan perubatan mangsa masih belum diperoleh.
Prosiding berlangsung di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya dengan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suhayl Aminin Sallehuddin manakala tertuduh berusia 53 tahun tidak diwakili peguam.
Terdahulu pada 6 Mei lalu, lelaki tersebut mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan yang dikemukakan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak perempuan sulungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel sekitar daerah Tawau antara Disember 2025 hingga 19 Mac lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.
Pada 8 April lalu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 165 tahun terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak perempuannya yang kini masing-masing berusia 25 dan 22 tahun.
Hakim Suhailla Selag ketika itu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan secara berasingan selain mengenakan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.






