SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Kontinjen Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan peralatan telekomunikasi yang disyaki dicuri menerusi operasi bersepadu Op Lusuh yang dijalankan di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan pada 18 hingga 19 Jun lalu.
Menerusi operasi itu, pihak berkuasa telah menyerbu sebuah premis di Kota Samarahan yang dipercayai dijadikan gudang penyimpanan peralatan yang dicuri tersebut.

Menurut MCMC, hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan telekomunikasi, termasuk bateri stesen pemancar dan Remote Radio Unit (RRU) yang dipercayai milik syarikat telekomunikasi dan disyaki diperoleh secara tidak sah.
Kata suruhanjaya itu, dua individu turut ditahan polis bagi membantu siasatan, manakala semua peralatan yang ditemukan telah disita sebagai bahan bukti.

“Kegiatan kecurian dan vandalisme terhadap aset telekomunikasi bukan sahaja satu kesalahan jenayah, malah boleh menjejaskan kesinambungan perkhidmatan komunikasi kepada pengguna, termasuk perkhidmatan kritikal yang bergantung kepada rangkaian telekomunikasi,” kata MCMC dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut MCMC, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Operasi bersepadu tersebut mencerminkan kerjasama erat antara MCMC, Polis Kontinjen Sarawak, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) serta agensi penguat kuasa berkaitan dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan infrastruktur telekomunikasi negara, katanya.
Tambah suruhanjaya itu, kerjasama strategik tersebut akan terus diperkukuh bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat, stabil dan berdaya tahan.
Pada masa yang sama, MCMC menigingatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan aset telekomunikasi bagi membantu membendung kegiatan jenayah tersebut daripada terus berleluasa.






