Bukan semua kesalahan jalan raya kena kompaun RM500 – Anthony Loke

CADANGAN menaikkan  kadar kompaun daripada RM300 kepada RM500 bagi kesalahan jalan raya tidak bermaksud semua kesalahan akan dikenakan kadar itu kerana ia adalah had maksimum.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pelaksanaan kompaun masih boleh mengambil kira jenis kesalahan, tahap keseriusan, tempoh bayaran dan dasar pelaksanaan yang akan ditetapkan.

“Kenaikan ini bukan bertujuan menambah hasil kerajaan, sebaliknya adalah meningkatkan pematuhan. Kesalahan seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu secara berbahaya atau mengabaikan peraturan asas boleh membawa akibat yang sangat serius,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sesi penggulungan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026) diluluskan di Dewan Rakyat hari ini selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Melalui RUU itu, kerajaan antara lain bercadang menguatkuasakan kadar maksimum kompaun baharu dari RM300 kepada RM500 bagi kesalahan jalan raya mulai 1 Januari 2029.

Selain itu, seksyen baharu 42A turut diperkenalkan bagi menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan khusus mengikut Akta 333, yang mana tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap aktiviti berkenaan tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa

Pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) membabitkan hukuman terhadap pemandu mabuk dan memandu di bawah pengaruh alkohol akan turut membabitkan bayaran pampasan serta ganti rugi kepada mangsa dan keluarga.

Loke mengakui kenaikan kadar kompaun saja tidak mencukupi, sebaliknya sistem hukuman itu perlu disokong dengan sistem demerit, kursus semula, pendidikan dan tindakan terhadap pesalah berulang.

Pada masa ini, katanya, kementerian sedang menyediakan Memorandum Jemaah Menteri (MJM), termasuk mendapatkan ulasan daripada kementerian berkaitan, sebelum ia dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa satu atau dua bulan lagi.

Justeru, Loke menolak dakwaan Ahli Parlimen pembangkang kononnya kerajaan tidak serius untuk menangani isu pemandu mabuk berikutan ia tidak dimasukkan dalam pindaan Akta 333 pada mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.

“Saya nyatakan secara awam dan dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026) semalam, kita memang sedang mempertimbang satu kaedah baharu, yang bukan saja menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada pemandu yang salah atau pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, tetapi kita juga memasukkan elemen supaya mereka perlu bayar ganti rugi kepada mangsa atau pampasan kepada mangsa keluarga.

“Bagaimanapun, dalam kita nak menggubal pindaan ini, ada prosesnya. Mengapa tidak ada dalam pindaan kali ini? Sebab pindaan yang kita bawa hari ini secara dasarnya sudah pun diluluskan dua tahun lalu dan kita mengambil masa satu hingga dua tahun untuk merangka pindaan ini,’’ katanya.

Beliau, jika kerajaan mahu  memasukkan satu lagi pindaan, proses penggubalan itu perlu kembali kepada asalnya, iaitu perlu mendapatkan kelulusan dasar daripada Jemaah Menteri.

‘’Kemudian baru boleh kita draf pindaan itu dalam bentuk RUU oleh Jabatan Peguam Negara. Komitmen dan hala tuju kita adalah membawa satu lagi pindaan Akta Pengangkutan Jalan pada hujung tahun ini, iaitu pada persidangan kali ketiga. Jadi bukannya kita tidak serius dan kita tidak pernah seserius ini,” katanya

.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img