SEORANG nelayan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bot di perairan berhampiran Pulau Kendi, Batu Maung sejak Rabu lalu ditemukan lemas berhampiran Pulau Betong hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mayat mangsa ditemukan jam 2.30 petang sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada 7.15 malam ini selepas mangsa ditemukan oleh komuniti nelayan,” katanya malam ini, lapor Bernama.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.53 pagi semalam dan mangsa dikenali sebagai Tang Chin Khoon, 51.
Menurutnya, mangsa ke laut bersama tekong dan dua lagi rakan untuk menangkap ikan kira-kira jam 6 petang Rabu dan ketika dalam perjalanan pulang kira-kira jam 10 malam, pengemudi bot menyedari mangsa sudah tiada di atas bot dan dipercayai telah terjatuh ke laut berhampiran Pulau Kendi.






