SEBANYAK 174 peserta terdiri daripada pelajar, guru dan orang awam menyertai program Kayuhan Amal sempena sambutan Jubli Perak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tuanku Ja’afar di Senawang, Seremban semalam.
Program yang julung-julung kali diadakan itu bertemakan `Legasi 25 Tahun, Bersama Menjulang Kegemilangan’ mencatat sejarah tersendiri apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta dari beberapa buah negeri.
Pengetua SMK Taman Tuanku Ja’afar, Md Sa’at Atan berkata, sebanyak 24 orang guru serta 150 peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan orang awam dari beberapa buah negeri menyertai acara kayuhan yang bermula dari sekolah ke bandar Senawang sebelum berpatah balik ke sekolah.

“Program ini melibatkan acara kayuhan sejauh 20 kilometer dan apa yang membanggakan adalah terdapat peserta orang awam yang datang dari Perak, Pahang, Selangor dan Melaka.
“Sepanjang kayuhan yang bermula jam 7.30 pagi, laluan peserta dikendalikan oleh anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi memastikan acara kayuhan ini berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada program itu semalam.

Menurut Md Sa’at, program mendapat kerjasama Unit Pembangunan Bakat Murid (UPBM) Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seremban, IPD Seremban, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Senawang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) Seremban, Petronas Bandar Baru Senawang dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Beliau berharap, penganjuran program ini dapat memupuk semangat kesukarelawanan, meningkatkan hubungan baik antara sekolah dan masyarakat serta mengumpul dana bagi menyokong program pembangunan pelajar.

“Program kayuhan ini bukan sekadar riadah dan kesihatan malah menjadi simbol perpaduan, kerjasama dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga sekolah serta komuniti setempat.
“Selain itu, ia juga mengimbau sejarah dan pencapaian sekolah sepanjang 25 tahun ditubuhkan sejak 2001,” kata beliau.
Menurut Md Sa’at, peserta program kayuhan dilepaskan oleh Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Negeri Sembilan, Mohd Kameel Abdul Karim manakala perasmian penutup program disempurnakan oleh seorang tokoh korporat, Datuk Iskandar Sarudin.
Beliau berkata, selain program kayuhan yang berlangsung semalam, SMK Taman Tuanku Ja’afar turut mengadakan beberapa program sempena sambutan Jubli Perak termasuk Karnival Keusahawanan iaitu Karnival Ja’afarian pada 13 Jun lalu dan acara kemuncak sambutan adalah Majlis Makan Malam Jubli Perak yang akan diadakan di sebuah hotel di Seremban pada 3 Julai depan.






