SALAH seorang rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden letupan bom di Tak Bai, wilayah Narathiwat pagi semalam melahirkan rasa syukur kerana terselamat dalam kejadian itu.
Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, turut menganggap kejadian yang menimpanya sebagai satu keajaiban kerana dia dan rakannya masih hidup.
“Rasa macam satu keajaiban kami masih hidup,” katanya yang masih sukar melupakan detik cemas itu kepada NST selepas dibenarkan keluar dari Hospital Narathiwat.
Abdullah Syarapi berkata, mereka amat bersyukur kerana terselamat walaupun berdepan detik yang amat mencemaskan.
“Alhamdulillah, kami selamat, tetapi kami masih terkejut dengan apa yang berlaku. Kami baru tiba di Pekan Sungai Golok dan akan terus ke sebuah hospital di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan usia kami,” katanya.
Abdullah Syarapi dan rakannya, Muhammad Yusri Udin, 38, cedera apabila Proton X50 yang mereka naiki terperangkap dalam letupan bom tepi jalan yang ditanam di bawah pembetung di Lebuh Raya 42, Ban Praiwan, Tak Bai di Narathiwat pagi semalam.
Dia mengalami kecederaan serius, termasuk luka pada dahi dan kepala, patah tulang paha kiri serta kecederaan pada tangan kiri, manakala Muhammad Yusri hanya mengalami kecederaan ringan.
Kedua-dua mereka dijangka mendapatkan rawatan sejurus tiba di Kota Bharu.






