MPOB komersial lebih 240 teknologi, buka potensi pasaran melebihi RM6 bilion

LEBIH 240 teknologi berjaya dikomersialkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan potensi nilai pasaran melebihi RM6 bilion, sekali gus memperkukuh peranan penyelidikan dan inovasi sebagai pemacu baharu pertumbuhan industri sawit negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pencapaian itu membuktikan hasil penyelidikan tempatan bukan sekadar tertumpu kepada penemuan di peringkat makmal, malah berjaya diterjemahkan kepada teknologi, produk dan penyelesaian yang memberi impak langsung kepada industri.

Menurut beliau, tumpuan penyelidikan MPOB kini meliputi bidang strategik termasuk formulasi baja patuh Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi proses penuaian dan penggredan tandan buah segar, mekanisasi ladang, produk oleokimia, jaminan makanan serta pembangunan teknologi mampan.

“Pasaran kini semakin menuntut produk yang mampan, kos operasi pula semakin meningkat selain cabaran tenaga kerja yang semakin ketara.

“Justeru, teknologi bukan lagi pilihan tambahan, sebaliknya sudah menjadi keperluan utama untuk memastikan industri sawit Malaysia terus kompetitif,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2026 di Ibu Pejabat MPOB, Bangi, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOB dengan beberapa pihak industri bagi mempercepat pengkomersialan teknologi tempatan.

Sempena program itu, MPOB turut melancarkan sembilan teknologi baharu hasil penyelidikan tempatan yang merangkumi keperluan industri daripada sektor perladangan hingga penghasilan produk bernilai tinggi.

“Antara teknologi diperkenalkan termasuk pemotong sawit bermotor Canta yang berupaya meningkatkan produktiviti tenaga kerja sehingga 50 peratus serta sistem berasaskan AI dan teknologi pengimejan untuk menilai tahap kematangan tandan buah segar secara automatik,” katanya.

Noraini berkata, pendekatan berasaskan teknologi dan inovasi perlu terus diperkukuh bagi memastikan industri sawit negara kekal relevan, berdaya saing dan mampu menjana nilai ekonomi lebih tinggi kepada negara serta pemain industri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img