Wanita maut dirempuh motosikal ketika berjalan dengan keluarga

SEORANG wanita berjalan kaki bersama ahli keluarganya pada awal pagi berakhir tragedi apabila dia maut selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Kuala Ketil–Sungai Petani dekat Bandar Puteri Jaya, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, Shukriyah Abu Bakar, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang berjalan kaki bersama empat ahli keluarga lain termasuk seorang bayi dan kanak-kanak ketika kejadian berlaku.

Menurutnya, sebuah motosikal yang bergerak lurus di bahu kiri jalan dipercayai tidak menyedari kehadiran kumpulan pejalan kaki berkenaan.

“Ketika melalui kawasan itu, penunggang motosikal dipercayai tidak menyedari kehadiran sekumpulan pejalan kaki yang sedang berjalan di laluan sama.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, penunggang gagal mengelak lalu merempuh kumpulan pejalan kaki terbabit,” katanya.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

Katanya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah manakala seorang lagi pejalan kaki cedera pada bahagian tangan.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan termasuk bagaimana kumpulan pejalan kaki itu berada di lokasi berkenaan pada waktu kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img