PERJALANAN seorang lelaki etnik Rohingya memasuki Malaysia secara tidak sah terbongkar selepas dia mengaku membayar RM10,000 kepada seorang ‘ejen’ dan menempuh perjalanan berisiko merentas laut, hutan serta sempadan sebelum ditahan di Terminal Bas Kota Bharu, malam tadi.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan anggota Batalion 8 PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di Terminal Bas Kota Bharu di Lembah Sireh kira-kira jam 7.50 malam.
Menurutnya, ketika ditahan, lelaki terbabit memaklumkan sedang menunggu bas untuk ke Permaisuri, Setiu, Terengganu bagi mencari peluang pekerjaan baharu.
“Hasil soal siasat mendapati lelaki itu datang ke Malaysia pada 2023 dengan menaiki kapal laut selama sebulan dari Rathedaung, Rakhine, Myanmar menuju ke Thailand.
“Dia mengaku membayar RM10,000 kepada seorang ‘ejen’ bagi menguruskan perjalanan dari Myanmar sehingga memasuki Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebaik tiba di Thailand di lokasi yang tidak dikenal pasti, lelaki terbabit berjalan kaki melalui kawasan hutan menuju ke selatan negara itu selama kira-kira tiga hari sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui laluan Sungai Golok.
Katanya, lelaki itu turut mengaku sudah berada di Malaysia selama kira-kira tiga tahun dan bekerja sebagai buruh binaan di sekitar Kota Bharu.
“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati dia gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah sebelum ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, risikan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengesan serta membanteras sindiket penyeludupan migran serta mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin.






